Thursday, 9 April 2015

UMNO Kelantan Yakin Pada PM Najib Razak : Mustapa Mohamed

KOTA BHARU - UMNO Kelantan yakin Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mempunyai kewibawaan dan sentiasa terbuka menerima pandangan serta kritikan dalam memantapkan pentadbiran termasuk dasar-dasar negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Dato' Seri Mustapa Mohamed berkata, dengan keterbukaan itu dasar-dasar lebih baik dan berkesan dapat dilaksanakan demi masa depan negara yang lebih terjamin.

Sehubungan itu beliau menyeru, rakyat negara ini memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri sekarang ini untuk meneruskan agenda transformasi dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat dengan lebih efisyen.

"Dalam sebuah negara demokrasi, setiap orang berhak memberi pandangan dan kritikan. Walau bagaimanapun dalam memberi pandangan kita perlu adil dan objektif.

"Beberapa isu yang diutarakan seperti 1MDB sedang diaudit dengan teliti oleh Ketua Audit Negara dan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri jika ada mana-mana pihak yang didapati bersalah, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

"Begitu juga dalam kes koperal Sirul Azhar yang dikaitkan dengan isu pembunuhan Altantuyaa Shariibu, ianya telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan kepada sokmo.net di sini hari ini.

Beliau berkata, UMNO Kelantan tidak menolak bahawa banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi serta pentadbiran negara dan ia tidak terkecuali dengan Kelantan yang telah dilakukan dengan terbaik oleh Perdana Menteri.

Mustapa berkata, selama enam tahun menjawat jawatan Perdana Menteri, Najib telah membuktikan ketokohannya sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dengan pelbagai pembaharuan dilaksanakan termasuk mentransformasikan pentadbiran dan ekonomi negara.

Selama tempoh tersebut katanya, negara memperolehi pengiktirafan di peringkat antarabangsa melalui langkah-langkah pembaharuan dan reformasi fiskal dan pengukuhan ekonomi Malaysia.

"Perdana Menteri sememangnya amat komited dalam melaksanakan pembaharuan dan pembangunan secara inklusif dan negeri Kelantan turut mendapat pembelaan terutamanya ketika banjir besar melanda Kelantan sekitar Disember tahun lalu.

"Keperihatinannya (Najib) dalam memastikan penduduk yang terjejas teruk akibat banjir agar kembali menikmati kehidupan yang lebih selesa tidak dapat dinafikan, banyak bantuan yang disalurkan kepada mangsa terbabit," jelasnya.

Monday, 6 April 2015

Sami Buddha Peluk ISLAM Selepas 30 Tahun Kaji Agama


MELAKA - Hampir 30 tahun mengkaji setiap agama di dunia ini, akhirnya seorang sami Buddha berusia 66 tahun mengambil keputusan memeluk Islam.

Pengalaman menjadi sami selama 28 tahun di Taiwan mendorong lelaki yang enggan identitinya itu didedahkan, mencari kebenaran dan akhirnya mengakui Islam merupakan satu agama yang indah dan sempurna.

Semalam, lelaki terbabit mengucap dua kalimah syahadah dalam satu majlis ringkas di Masjid Cina, di sini.

Presiden Persatuan Cina Islam Malaysia Cawangan Melaka (Macma), Lim Jooi Soon berkata, sepanjang menjadi sami di Taiwan, lelaki berkenaan banyak menghabiskan masa mengkaji setiap agama di dunia ini.

"Semasa menjadi sami, dia begitu banyak mengkaji tentang banyak agama di dunia ini. Dalam pengkajian itu, dia cuma menemui Islam sebagai sebuah agama paling lengkap dan meliputi segala aspek setiap kali berhujah.

“Dia banyak melihat agama Islam ini semakin berkembang, tetapi dia tidak tahu puncanya," katanya.

Menurutnya, lelaki yang berasal dari Johor itu datang ke negeri ini sejak tiga minggu lalu.

"Akhirnya, dia berjumpa saya dan saya telah menerangkan dengan menggabungkan bagaimana logik, sains dan hujah dapat dikaitkan dengan pencipta alam ini menyebabkan dia tertarik untuk memeluk Islam,” katanya selepas majlis itu semalam yang
disempurnakan penaung Macma, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Datuk Yaakub Md Amin dan Mufti negeri, Datuk Dr Mohadis Yasin.

Jooi Soon berkata, kini tugas Macma adalah untuk membimbingnya agar dapat mengetahui ajaran Islam secara mendalam.

“Kerja kami baru hendak bermula untuk mengajarnya dan kami hanya boleh mengajar dalam bahasa Mandarin kerana dia tidak fasih bahasa Melayu dan Inggeris. Ia mungkin menuntut sedikit kesabaran,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama semalam turut menyaksikan pengislaman seorang lelaki kurang upaya (OKU) berusia 31 tahun.

Menurut Jooi Soon, lelaki dikenali sebagai Teo itu dikatakan ditemui ketika hidup di dalam gelandangan dan hanya mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk sesuap nasi.

“Dia mengalami kecacatan anggota kaki dan tangan. Rakan-rakan kami menemuinya sehingga akhirnya kami dakwah dia untuk tertarik terhadap Islam.

“Paling mencabar lagi bagi kami, OKU ini juga tidak berpelajaran dan tidak tahu membaca,” katanya. -SH

Bantuan RM600,000 Kepada Guru Terjejas Banjir #BahKuning


KOTA BHARU – Seramai 6,000 orang guru yang terjejas teruk akibat banjir di Kelantan akan menerima sumbangan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan Pengelola Sekolah-Sekolah Malaysia (PPSSM) dengan jumlah keseluruhan RM600,000 .

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Abdullah Mohammad berkata, daripada jumlah itu, PPSSM menyumbang sebanyak RM 43,000.

“Sumbangan ini adalah hasil kutipan dari tabung bantuan bencana PPSSM. Ini menunjukkan betapa kami bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka oleh itu kami mengambil inisiatif membantu,”

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan replika cek daripada PPSSM pada Majlis Penyerahan Sumbangan Derma Pasca Banjir di Jabatan Pendidikan Negeri disini, hari ini.

Beliau berharap, sumbangan tersebut dapat membantu mengurangkan beban mereka terbabit akibat bencana banjir yang melanda negeri ini sekitar Disember tahun lalu.

"Terima kasih kepada semua yang menghulur bantuan dan sumbangan ini bukti keperihatinan serta rasa kasih kami di atas kesulitan yang dialami oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata, bantuan tersebut akan diagihkan pada minggu hadapan dan akan dilakukan mengikut pejabat pindidikan daerah.

Menurut beliau, sumbangan akan diberikan dalam bentuk wang tunai sekurang-kurangnya RM500 seorang dan bergantung pada tahap kemusnahan yang dialami masing-masing.

Menurutnya lagi, seramai 200 orang guru telah kehilangan tempat tinggal akibat ‘bah kuning’ baru-baru ini.