Saturday, 21 December 2013

KEMELUT EKONOMI RAKYAT, SIAPA PERLU DIPERSALAHKAN?

Dalam menghadapi kemelut ekonomi dan tekanan peningkatan kos sara hidup, kewujudan pihak untuk dipersalahkan merupakan langkah termudah bagi rakyat 'keluar' daripada terus dibelenggu permasalahan ini.

Sikap alami manusia yang sering menyalahkan pihak lain, waima atas kesilapan diri sendiri merupakan refleksi kepada tindakan rakyat mutakhir ini, terutamanya ketika menghadapi tekanan disebabkan peningkatan kadar dan harga barangan di pasaran.

Ironinya sebilangan besar rakyat tidak mencari jalan penyelesaian mengurangkan tekanan tersebut, sebaliknya mencari pula pihak untuk dipersalahkan.

Dalam keadaan kelembapan ekonomi global ditambahkan lagi dengan kenaikan pelbagai kos, keputusan rakyat menjadikan kerajaan sebagai 'punching bag' bagi melepaskan tekanan mereka adalah tidak dapat dielak.

Ditambah pula dengan sogokan pihak tertentu terutama peranan media pro-pembangkang menyebabkan kemelut ini hanya dianggap bertitik-tolak atas kelemahan urus tadbir kerajaan semata-mata, tanpa melibatkan pihak lain.

Sebenarnya sebilangan rakyat menyedari bahawa kerajaan bukanlah kunci kepada kemelut ekonomi ini semata-mata.

Sebaliknya faktor lain juga memainkan peranan sebagai pemangkin kepada kelesuan pertumbuhan ekonomi, selain menyumbang kepada peningkatan kadar dan harga barangan di pasaran.

Mungkin sebilangan rakyat akan beranggapan bahawa kenyataan ini sebagai karut dan sengaja direka-reka bagi membentuk perspektif kerajaan tidak wajar dipersalahkan.

Namun rakyat harus akur dengan hakikat kenaikan pelbagai kos turut berpunca daripada krisis ekonomi global. Tetapi pasti sebilangan rakyat akan tetap bertanya; siapakah yang harus kami persalahkan?

PERANAN RAKYAT
Menyalahkan mana-mana pihak pada ketika ini, tidak akan membantu menurunkan harga barangan di pasaran.

Sebaliknya rakyat sendiri wajar bersedia untuk mengawal kuasa membeli dan berjimat bagi menghadapi tekanan kenaikan pelbagai kos, terutama melibatkan perbelanjaan bukan perlu.

Sebagai kuasa membeli terbesar, rakyat perlu bijak dalam menguruskan belanjawan peribadi dan rumah tangga.

Perbelanjaan luar perlu mesti dielakkan bagi mengurangkan tekanan kewangan terutamanya dalam keadaan ekonomi nasional kurang stabil.

Selain itu, rakyat boleh mengurangkan beban kewangan dengan melakukan beberapa pendekatan mudah dalam memastikan pengurusan belanjawan peribadi dan rumah tangga berada dalam keadaan terkawal.

Berkongsi kenderaan ke tempat kerja, menjimatkan penggunaan elektrik dan air di rumah, menggunakan kenderaan awam, menanam sayur-sayuran secara hidroponik dan berbelanja secara berhemah merupakan antara pendekatan bagi meminimumkan tekanan dihadapi rakyat akibat kenaikan pelbagai kos.

Pendekatan-pendekatan sebegini bukanlah perkara baru untuk diperkenalkan. Sebaliknya pelbagai kempen seumpama ini pernah digerakkan oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memberi panduan kepada rakyat ketika menghadapi kemelut ekonomi semasa terutama semasa Krisis Ekonomi Dunia 1997.

Malah semasa Krisis Ekonomi tersebut, kerajaan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed, mempergiatkan lagi kempen berjimat-cermat dengan memberi fokus kepada kelompok sasaran sebagai pendekatan mengawal tekanan ekonomi semasa dan kadar inflasi nasional, ketika itu.

PERANAN KERAJAAN
Dalam masa sama, kerajaan juga perlu memainkan peranan bagi meminimalkan sebarang kenaikan kos dengan tidak mengenakan sebarang cukai terhadap barang keperluan asas, selain mempersiapkan pelan jangka panjang menghadapi krisis ekonomi global yang dijangka berlarutan sehingga 2018.

Menghadapi kemelut ekonomi rakyat, kerajaan wajar menilai kembali belnjawan dibentang saban tahun.

Perbelanjaan luar perlu mesti dihentikan serta-merta untuk mengurangkan defisit nasional dan membantu pertumbuhan ekonomi lebih mapan.

Selain itu, kerajaan harus bersedia untuk mengurangkan perbelanjaan bersifat pengurusan dan meningkatkan perbelanjaan pembangunan bagi menyediakan prasarana mencukupi untuk keperluan pelabur dalam dan luar negara.

Peningkatan jumlah pelaburan dalam negara secara tidak langsung akan membantu proses pertumbuhan ekonomi, selain meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Namun dalam masa sama, kerajaan wajar untuk bersedia dengan mekanisme mengurangkan kebergantungan kepada warganegara asing.

Kebergantungan negara kepada khidmat buruh asing nyata mengikis peluang pekerjaan rakyat tempatan untuk bersaing dalam pelbagai sektor, selain menyumbangkan kepada pengaliran keluar ringgit secara tidak terkawal.

Pengaliran keluar tunai secara berterusan bukan sahaja menyebabkan nilai ringgit menurun di pasaran global, malah turut menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi negara.

Bersandarkan atas alasan kadar inflasi nasional meningkat, golongan kapitalis dan pelabur semestinya akan berlumba-lumba menaikkan harga barangan di pasaran.

Lebih memburukkan keadaan lagi apabila majikan lebih mengemari khidmat pekerja asing berbanding warga tempatan disebabkan kos buruh yang rendah.

Namun dalam masa sama, rakyat tempatan turut terkesan apabila gaji ditawarkan kepada mereka tidak setimpal dan sering kali bersamaan tangga gaji buruh asing.

Hakikatnya buruh asing tidak begitu terkesan dengan kenaikan pelbagai kos disebabkan tidak mempunyai tanggungan di negara ini, sebaliknya rakyat tempatan pula mempunyai pelbagai keperluan dan tanggungan semasa.

Seandainya kerajaan melihat realiti ini, isu kemelut ekonomi rakyat pasti tidak timbul memandangkan tekanan kos sara hidup dihadapi ketika ini berpunca daripada kenaikan pelbagai kos yang tidak disetimpalkan dengan tangga gaji rakyat.

KESIMPULAN
Kerajaan dan rakyat harus memperbetulkan beberapa pendekatan agar kemelut ekonomi rakyat tidak berterusan.

Rakyat perlu berjimat-cermat berbelanja terutama ketika ekonomi global berada dalam keadaan kurang stabil.

Manakala kerajaan pula memikirkan mekanisme untuk membela nasib rakyat yang ditindas golongan majikan.

No comments:

Post a Comment