Thursday, 28 November 2013

KONSERT ARTIS GABUNGAN DUA NEGARA

SUDAH acap kali konsert gabungan dua buah negara diadakan di Malaysia. Atas predikat perpaduan, konsert sebegini terus dilaksanakan dan mendapat sambutan menggalakkan, baik daripada pihak artis mahupun peminat.

Namun, acara atas nama Konsert Destini ini lahir untuk mewujudkan objektif yang berbeza. Masih dalam rantaian persembahan penyanyi-penyanyi hebat Malaysia dan Indonesia, konsert yang akan dilaksanakan pada 20 dan 21 Disember ini mempunyai misi tersendiri.

Dianjurkan oleh pihak Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM, konsert ini bakal berlangsung di Dewan Agung Tunku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.

Objektif utama konsert tersebut dianjurkan adalah untuk mengumpul dana tambahan bagi Tabung Pendidikan Anak Bangsa yang merupakan tabung dermasiswa bagi membantu pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan dari luar bandar, pedalaman dan miskin.

Ia juga akan disalurkan kepada anak yatim dan orang asli untuk menyambung pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Konsert tersebut yang akan berlangsung pada pukul 8 malam menampilkan persembahan artis tersohor Malaysia iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Awie, Jaclyn Victor, Adira, Hafiz Suip serta Dayang Nurfaizah manakala artis dari Indonesia terdiri daripada Datuk Rossa dan Pasha Ungu.

Menyambut baik perjuangan dana ini, Datuk Siti Nurhaliza yang akan menyanyikan tiga buah lagu hitnya melihat ia sebagai suatu usaha murni untuk membantu anak bangsa.

“Sebagai anak seni, kami bukan sahaja muncul untuk menghibur tetapi juga membantu melalui muzik. Kita mahu melihat anak bangsa berjaya.

“Ada dalam kalangan mereka ini yang berkeinginan tetapi kemampuan mereka terhalang. Saya dan rakan-rakan artis yang lain menyokong program yang dijalankan oleh YDAB,” ujarnya yang pernah bekerjasama dengan pihak YDAB sebelum ini.

Amy Search yang merupakan salah satu penampilan istimewa untuk dua malam konsert tersebut juga menyambut baik sebuah projek yang disifatkan sebagai membantu anak-anak bangsa yang tercicir.

“Saya akan menyanyikan sekitar tiga atau empat buah lagu. Saya mungkin akan tukar lagu pada malam kedua, semua bergantung kepada mood serta audiens,” ujar Amy yang menerima pelawaan penganjur konsert tanpa melihat jadual kerjanya kerana ikhlas mahu menghulur bantuan.

“Ini sebuah acara yang perlu ditunjukkan sokongan untuk generasi seterusnya,” ujar Amy yang menyimpan keinginan mempelajari seni lukis di UiTM suatu ketika dulu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB), Datuk Mohd. Aizuddin Mohd. Ghazali, sehingga kini sebanyak 2,500 tiket telah habis dijual.

“Artis yang sama akan menyanyi untuk dua malam. Konsert yang berdurasi dua jam 30 minit ini menyasarkan kutipan dana sebanyak RM2 juta dan setiap ringgit akan disalurkan kepada pihak YDAB,” ujar Aizuddin yang turut menjelaskan, kehadiran Rossa dan Pasha adalah kerana agenda Tahun Melawat Malaysia 2014.

“Konsert ini terbuka kepada khalayak dan diharapkan mereka dapat berhibur sambil beramal. Konsep elegan dan harmoni akan ditampilkan pada malam tersebut dan akan membawa kelainan kepada Konsert Destini ini,” ujarnya yang akan turut menampilkan Edrie Hashim selaku Pengarah Muzik.

Tiket-tiket dijual pada harga RM30, RM80, RM200, RM300, RM500 dan RM1,000 menerusi Unit Pemasaran Konsert Destini dan Fakulti Filem Teater dan Animasi (FiTA) UiTM di talian 03 7962 2186 dan 03 3342 5080.


                     Orang ramai yang ingin membuat TEMPAHAN boleh menghubungi: 
019-6704734 / 013-3959839 / 03-79622186



No comments:

Post a Comment