Thursday 31 October 2013

SHABERY : KERAJAAN NAIK TARAF KEMUDAHAN 3G DI SG. LIMAU #PRKSgLimau #2013


alt

YAN 31 Okt - Kerajaan sedang dalam memproses menaik taraf kemudahan telekomunikasi dari 2G ke 3G secara berperingkat di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sebagai langkah sementara mengatasi masalah Internet yang terhad di Sungai Limau, kementerian telah mewujudkan 17 kampung tanpa wayar dan tiga Pusat Internet 1Malaysia (PI1M).

"Hanya beberapa tempat kini ada kemudahan 3G. Untuk adakan perkhidmatan yang gunakan gentian atau fiber perlukan laluan untuk pasang ke rumah... ambil masa. Kita mahu selesaikan dulu masalah tanpa wayar.

"Walaupun tumpuan mulanya ke kawasan ramai penduduk, tetapi akhirnya pergi juga ke tempat kurang penduduk. Buat sementara waktu, kita ada 17 kampung tanpa wayar sebagai kawasan 'hotspot'," katanya dalam sidang media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini.

Katanya, kemudahan kampung tanpa wayar dan PI1M ini membolehkan pelajar dan orang ramai mendapat kemudahan Internet seperti menghantar e-mel dan mendapatkan maklumat.

"Ini semua masih kemudahan sementara. (Kemudahan sementara ini akhirnya) akan jadi seperti pondok telefon awam, yang sekarang dah tak ada. Perubahan ini akan berlaku dalam masa yang singkat," katanya.

Ahmad Shabery berkata dalam Bajet 2014 yang diumumkan baru-baru ini, terdapat peruntukan sebanyak RM6 bilion bagi kemudahan telekomunikasi di bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

"Ini termasuk pembinaan 1,000 menara telekomunikasi supaya perkhidmatan 3G, 4G diperluaskan di kawasan luar bandar supaya Internet menjadi kemudahan biasa.

Waktu itu, kita tak perlukan lagi kampung tanpa wayar dan Pusat Internet 1Malaysia," katanya.

Sementara itu, Shabery berkata beliau berharap media yang membuat liputan Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau, dapat menyalurkan maklumat dengan cepat dan tepat bagi mengelak khabar angin.

"Pusat Media KKMM akan salurkan maklumat dengan cepat dan tepat bukan sahaja kepada media kerajaan tetapi juga kepada media bebas," katanya.

Terdahulu, Ahmad Shabery melawat dan menyampaikan bantuan kepada penduduk yang memerlukan di Kampung Gelam di Yan, Kedah.

Beliau turut melakukan lawatan ke PI1M, selain rumah ke rumah dan meluangkan masa bersarapan serta beramah mesra bersama penduduk di Warung Pak Su di Kampung Bukit Besar. - Rakyat News

0 comments: